Hari
itu Nasibah sedang berada di dapur. Suaminya, Said tengah berehat di bilik
tidur. Tiba-tiba terdengar suara gemuruh bagaikan gunung-gunung batu yang
runtuh. Nasibah menduga, itu pasti tentera musuh. Memang, beberapa hari ini
ketegangan memuncak di sekitar Gunung Uhud.
Dengan
bergegas, Nasibah meninggalkan apa yang tengah dikerjakannya dan masuk ke
bilik. Suaminya yang sedang tidur dengan halus dan lembut dibangunkannya.
“Suamiku tersayang,” Nasibah berkata, “aku mendengar suara aneh menuju Uhud.
Barang kali orang-orang kafir telah menyerang.”
Said
yang masih belum sedar sepenuhnya, tersentak. Ia menyesal mengapa bukan ia yang
mendengar suara itu. Malah isterinya. Segera ia bangun dan mengenakan pakaian
perangnya. Sewaktu ia menyiapkan kuda, Nasibah menghampiri. Ia menghulurkan
sebilah pedang kepada Said.
“Suamiku,
bawalah pedang ini. Jangan pulang sebelum menang….”
Said
memandang wajah isterinya. Setelah mendengar perkataannya seperti itu, tidak
pernah ada keraguan baginya untuk pergi ke medan perang. Dengan gagah dinaikinya
kuda itu, lalu terdengarlah derap suara langkah kuda menuju utara. Said terus
terjun ke tengah medan pertempuran yang sedang berkecamuk. Di satu sudut yang
lain, Rasulullah melihatnya dan tersenyum kepadanya. Senyum yang tulus itu
makin mengobarkan keberanian Said saja.
Di
rumah, Nasibah duduk dengan gelisah. Kedua anaknya, Amar yang baru berusia 15
tahun dan Saad yang dua tahun lebih muda, memperhatikan ibunya dengan pandangan
cemas. Ketika itulah tiba-tiba muncul seorang penunggang kuda yang nampaknya
sangat gugup.
“Ibu,
salam dari Rasulullah,” berkata si penunggang kuda, “Suami Ibu, Said baru
sahaja gugur di medan perang. Beliau syahid…”
Nasibah
tertunduk sebentar, “Inna lillah…..” ucapnya, “Suamiku telah menang perang.
Terima kasih, ya Allah.”
Setelah
pemberi khabar itu meninggalkan tempat itu, Nasibah memanggil Amar. Ia
tersenyum kepadanya di tengah tangis yang ditahan, “Amar, kaulihat Ibu
menangis? Ini bukan air mata sedih mendengar ayahmu telah syahid. Aku sedih
kerana tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan pagi para pejuang Nabi. Mahukah
engkau melihat ibumu bahagia?”
Amar
mengangguk. Hatinya berdebar-debar.
“Ambilah
kuda di kandang dan bawalah tombak. Bertempurlah bersama Nabi hingga kaum kafir
dihapuskan.”
Mata
Amar bersinar-sinar. “Terima kasih, Ibu. Inilah yang aku tunggu sejak dari
tadi. Aku khuatir seandainya Ibu tidak memberi kesempatan kepadaku untuk
membela agama Allah.”
Putera
Nasibah yang berbadan kurus itu pun segera menderapkan kudanya mengikut jejak
sang ayah. Tidak tampak ketakutan sedikit pun pada wajahnya.
Di
hadapan Rasulullah, ia memperkenalkan diri. “Ya Rasulullah, aku Amar bin Said.
Aku datang untuk menggantikan ayah yang telah gugur.”
Rasulullah
dengan terharu memeluk anak muda itu. “Engkau adalah pemuda Islam yang sejati,
Amar. Allah memberkatimu….”
Hari
itu pertempuran berlalu cepat. Pertumpahan darah berlangsung sehingga petang.
Pagi-pagi seorang utusan pasukan Islam berangkat dari perkemahan mereka meunuju
ke rumah Nasibah.
Setibanya
di sana, perempuan yang tabah itu sedang termangu-mangu menunggu berita, “Ada
khabar, apakah yang berlaku?” serunya gemetar ketika sang utusan belum lagi
membuka suaranya, “apakah anakku gugur?”
Utusan
itu menunduk sedih, “Betul….”
“Inna
lillah….” Nasibah bergumam kecil. Ia menangis.
“Kau
berduka, ya Ummu Amar?”
Nasibah
menggeleng kecil. “Tidak, aku gembira. Hanya aku sedih, siapa lagi yang akan ku
berikan kepada perjuangan? Saad masih kanak-kanak.”
Mendengar
itu, Saad yang tengah berada di sebelah ibunya, mencelah, “Ibu, jangan remehkan
aku. Jika engkau izinkan, akan aku tunjukkan bahawa Saad adalah putera seorang
ayah yang gagah berani.”
Nasibah
terperanjat. Ia memandangi puteranya. “Kau tidak takut, nak?”
Saad
yang sudah meloncat ke atas kudanya menggeleng yakin. Sebuah senyum terhias di
wajahnya. Ketika Nasibah dengan besar hati melambaikan tangannya, Saad hilang
bersama utusan itu.
Di
arena pertempuran, Saad betul-betul menunjukkan kemampuannya. Pemuda berusia 13
tahun itu telah banyak menghabiskan banyak nyawa orang kafir. Hingga akhirnya
tibalah saat itu, iaitu ketika sebilah anak panah menusuk di dadanya. Saad
tersungkur mencium bumi dan menyeru, “Allahu akbar!”
Kembali
Rasulullah menghantar utusan ke rumah Nasibah. Mendengar berita kematian itu,
Nasibah meremang bulu romanya. “Hai utusan,” ujarnya, “Kau saksikan sendiri aku
sudah tidak punya apa-apa lagi. Hanya masih tinggal diri yang tua ini. Untuk
itu izinkanlah aku ikut bersamamu ke medan perang.”
Sang
utusan mengerutkan keningnya. “Tapi engkau perempuan, ya Ibu….”
Nasibah
tersinggung, “Engkau meremehkan aku kerana aku perempuan? Apakah perempuan
tidak ingin juga masuk syurga melalui jihad?”
Nasibah
tidak menunggu jawaban dari utusan tersebut. Ia bergegas saja menghadap
Rasulullah dengan kuda yang ada. Tiba di sana, Rasulullah mendengarkan semua
perkataan Nasibah.
Setelah
itu, Rasulullah pun berkata dengan senyum. “Nasibah yang dimuliakan Allah.
Belum waktunya perempuan mengangkat senjata. Untuk sementara engkau kumpulkan
saja ubat-ubatan dan rawatlah tentera yang luka-luka. Pahalanya sama dengan
yang bertempur.”
Mendengar
penjelasan Nabi demikian, Nasibah pun segera membawa beg ubat-ubatan dan
berangkatlah ke tengah pasukan yang sedang bertempur. Dirawatnya mereka yang
luka-luka dengan cermat.
Pada
suatu masa, ketika ia sedang menunduk memberi minum seorang parajurit muda yang
luka-luka, tiba-tiba terpercik darah di rambutnya. Ia menegok. Kepala seorang
tentera Islam jatuh dipancung senjata orang kafir.
Timbul
kemarahan Nasibah menyaksikan kekejaman ini. Apalagi waktu dilihatnya Nabi
terjatuh dari kudanya akibat keningnya terkena anak panah musuh, Nasibah tidak
boleh menahan diri lagi.
Ia
bangun dengan gagah berani. Diambilnya pedang perajurit yang rebah itu. Dinaiki
kudanya. Lantas bagai singa betina, ia mengamuk. Musuh banyak yang mengelak
menghindarinya. Puluhan jiwa orang kafir pun tumbang. Hingga pada suatu waktu
seorang kafir mengendap dari belakang, dan memancung putus lengan kirinya. Ia
terjatuh terinjak-injak kuda.
Peperangan
terus saja berjalan. Medan pertempuran makin menjauh, sehingga Nasibah
terbaring sendirian. Tiba-tiba Ibnu Mas’ud menunggang kudanya, mengawasi
kalau-kalau ada pejuang yang boleh ditolongnya.
Sahabat
itu, begitu melihat sekujur tubuh bergerak-gerak dengan payah, segera mendekatinya.
Dipercikannya air ke muka tubuh itu. Akhirnya Ibnu Mas’ud mengenalinya, “Isteri
Said-kah engkau?”
Nasibah
samar-samar memperhatikan penolongnya. Lalu bertanya, “bagaimana dengan
Rasulullah? Selamatkah beliau?”
“Beliau
tidak kurang suatu apapun…”
“Engkau
Ibnu Mas’ud, bukan? Pinjamkan kuda dan senjatamu kepadaku….”
“Engkau
masih luka parah, Nasibah….”
“Engkau
mahu menghalangi aku membela Rasulullah?”
Terpaksa
Ibnu Mas’ud menyerahkan kuda dan senjatanya. Dengan susah payah, Nasibah
menaiki kuda itu, lalu menderapkannya menuju ke pertempuran. Banyak musuh yang
dihadapinya.
Namun,
kerana tangannya sudah kudung, akhirnya lehernya dipancung putus. Rebahlah
perempuan itu ke atas pasir. Darahnya membasahi tanah yang dicintainya.
Tiba-tiba
langit berubah hitam mendung. Padahal tadinya cerah terang benderang.
Pertempuran terhenti sejenak.
Rasulullah
kemudian berkata kepada para sahabatnya, “Kalian lihat langit tiba-tiba
menghitam bukan? Itu adalah bayangan para malaikat yang beribu-ribu jumlahnya.
Mereka berduyun-duyun menyambut kedatangan arwah Nasibah, wanita yang perkasa.”
Sumber : http://ruangankitani.blogspot.com/2011/10/kisah-beribu-malaikat-menyambut.html
0 komentar:
Posting Komentar